1. Langit di Bota Kiri masih panas menyengat. Masih sakit menggigit kulit. Sedang langit dari arah Jalan Gelung Pepuyu sudah mulai menghitam. Dan aku telah nekad pada keputusan pertama. Jadi niat diteruskan dengan mengayuh Abu belok ke kanan masuk ke Jalan Gelung Pepuyu untuk lekas-lekas sampai ke Taiping. Walhal memang tak logik dah masa itu untuk sampai ke Taiping. (Baki 80km ++ di jam 2.00 petang). Dan dan kehadiran aku disambut dengan deretan lori hantu membawa muatan berat keluar. Jaga-jaga!
2. Tidak lama kemudian, sekumpulan anak muda yang menunggang motor dari arah bertentangan berteriak memberi amaran hujan lebat di hadapan. Ya! Ia betul-betul datang! Seperti jentera mau perang! Aku boleh lihat dengan jelas, terang lagi bersuluh. Cepat-cepat aku turun basikal. Masukkan semua barang yang penting dalam beg waterproof. Beria-ria sungguh buat persediaan hadapi hari hujan. Boleh jadi aku rasa teruja. Kemudian langit berdikit-dikit menjadi gelap sehingga hujan pun turun menyambut kedatangan orang gila.
3. Aku akui jalan ini sunyi. Kiri kanan adalah bentangan ladang kelapa sawit. Berbukit-bukit. Dengan bilangan lori dan kereta yang sedikit dan melaju, aku gigih mengayuh dalam hujan. Baju sudah lencun. Untuk lima bukit yang pertama aku masih gagah mengayuh. Masih kool. Masih ada nafas. Sampai satu tahap aku mulai merasakan muatan yang dibawa berat gila babi. Dengan keadaan jalan yang tak habis-habis mencanak naik bukit, bila nak turun hoi?! Terlalu berat, biar aku sahaja mengalah - turun dan sesi tolak-menolak Abu untuk memanjat bukit pun terjadi.
4. Untuk seketika aku layan je perasaan turun naik bukit dengan air hujan yang biadap meludah. Sesekali kereta lalu dan aku mula pasang harapan ada yang berhenti hulurkan bantuan. Tetapi siapa sahajalah yang berani dalam keadaan epik begini untuk bantu orang gila yang sengaja menggilakan diri. Jadi aku matikan sahaja niat itu sehingga sebuah motor berpatah-balik ke arah aku, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fahmi. Goal!
5. "Saya sarankan Akak bermalam di Beruas. Taiping masih jauh," Nasihat Fahmi kepada aku apabila kami berborak tentang arah tujuan sambil beriring masuk menuju ke satu jalan kecil. Kata Fahmi, ini jalan short-cut ke Beruas. Sebenarnya, aku baru sahaja meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Fahmi dengan membenarkan dia bawa beg waterproof yang berisi ke semua barang berharga. Kadang-kadang boleh tahan senteng juga aku ini. Cuma dalam keadaan ini (penat dan ada yang membantu), tenaga positif aku berlaga-laga. Inilah kot petua untuk walk into the wild; positive. Bila diingat-ingat semula, ia berbahaya.
6. Aku fikir ada baiknya buat kali ini makan nasihat Fahmi. Berhenti jadi degil kerana hari sudah petang. Aku takut kepada gelap dan ruang. Gelap dan ruang adalah kombinasi paling teruk! Aku rasa lebih selamat duduk dalam kotak yang kecil ruangnya, daripada menjajau seorang diri di ruang yang luas (Harap akan ada orang faham akan kekelingan aku ini). Jadi sampai sahaja di pekan Beruas setelah bertukar-tukar ucapan selamat, terus Fahmi ambil jalan ke kiri. Aku membelok ke kanan; menuju masjid Beruas.
7. Kayuhan diteruskan mengejar suara azan asar berkumandang. Auranya berdesupp-zupp masuk terus ke hati. Menegakkan bulu roma. Sumpah! Lain macam betul pekan ini! Gementar sebetulnya. Apa lagi kali ini nak jadi? Belajar dari kesilapan lepas, sampai sahaja di Masjid Beruas dalam keadaan basah kuyup aku perlu mencari Tok Siah. Penting! Untuk menjamin keselasaan tidur dan tidak mahu kecewa lagi. Dalam masa yang sama, masih simpan malu-malu kucing kepada pakcik-pakcik jemaah tabligh. "Assalammualaikum Tuan, Saya Mai." - Mood bermanis mulut turn on!
8. Selesai nyatakan hajat dan berikan maklumat (Untuk dapatkan izin tidur di masjid, cari Tok Siah; berikan salinan IC & tinggalkan nombor telefon), aku berborak-borak dengan pakcik-pakcik jemaah tabligh. Borak-borak ringan. Yakinkan mereka perihal tujuan aku. Mereka nampaknya mudah dibawa ke medan berborak. Aku yang pada mulanya kekok pun jadi riang bercerita. Tabligh boh! Orang-orang kanan Tuhan. Duh!
9. Iqomah pun berlagu, pakcik-pakcik tadi meminta diri mau sahut panggilan Tuhan. Aku teruskan berehat di kerusi batu sambil menghirup bubur nasi yang dibeli di perkarangan masjid. Tenaga positif aku masih lagi berdentam-dentum. Sama lain macamnya masa aku mula-mula masuk ke pekan ini. Selalunya kalau perasaan begini datang, aku akan overcome dengan mengurung diri. Cooling down. Over-confident adalah tabiat yang tidak sihat. Malangnya, aku tak jumpa ruang untuk mandiri. Pakcik dari warung yang terletak di sebelah masjid pula menegurku.
10. Rupanya ada buah rezeki yang dibawa dari pertemuan aku dengan Pakcik ini. Bermula dari Pak Haji Yusuf, seorang kariah masjid, yang senang hati menawarkan diri untuk bayar makanan malam aku. Termasuk ke isterinya sendiri, Mak Ana, menawarkan ruang rehat di belakang warungnya untuk jadikan ruang tempat aku bermalam. Tanpa berfikir panjang, aku setuju. Ruang yang tiptop! Siap ada katil, bantal dan kipas.
11. Sebelum masuk tidur, aku ada borak-borak kecil dengan Mak Ana. Aku kalau dengan perempuan; lebih-lebih lagi umur macam Mak Ana - skill tackle agak power! Aku selalu cakap benda ni kat mereka (perempuan), "Open your heart for ten seconds. Let me sink into you," dan hari seterusnya kami akan menjadi kawan baik. Dengan sisa tenaga positif yang suam, satu per satu Mak Ana tenang bercerita. Moga Tuhan merahmati perniagaan dan memberikan kesihatan yang baik kepada mereka.
Aku terhutang budi.
12. Subuh datang; aku selesaikan dengan berjemaah di masjid (warung dan masjid hanya beberapa langkah). Selesai semua aku melangkah ke ruang kasut, sekali lagi disapa oleh seorang jemaah perempuan, Mak Saaya namanya. Mak Saaya mengajak aku menyinggah ke rumahnya untuk minum pagi. Aku bersetuju - kami berjalan menuju ke rumahnya. Belakang masjid. Mak Saaya hidangkan milo panas dan kuih. Kami berbual seperti sudah lama kenal. Kawan aku pernah kata, kalau aku jadi menantu - aku adalah menantu paling disayangi. Okey. Over-confident tak baik untuk kesihatan. (Tapi ni kawan aku yang cakap. Haha! Tak nak kalah.)
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Al Ankabuut (64)
***
Bersambung...
Akan datang - Bab Terakhir:
Setelah emosi aku terburai sepanjang jalan dari Teluk Intan-Beruas (78.8km), Tuhan ubat dengan kebaikan orang Beruas. "Pengharapan kepada manusia itu menyakitkan," Maklumku pada Yah di malam terakhir keberadaan aku di Pulau Pinang. Esok aku perlu pulang ke tempat di mana aku bermula. Selepas tiga hari berbasikal dari Meru ke Pulau Pinang.

Hati hati mai
BalasPadampenggunaan perkataan yg menarik dan menyentuh hati pembaca
BalasPadam