Memaparkan catatan dengan label Tour Diaries. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tour Diaries. Papar semua catatan

20170324

Port Dickson - Kita adalah sebahagian daripada sesuatu yang istimewa

Dari kiri: Farid, Epi, Rafi, Hiro, Tikus, Naim, Mok, Rashid

1. Bermula daripada Tuhan Rabbul 'Alamin; pertemukan aku dengan Tikus dan Farid di Pedalasia. Boleh dikatakan Pedalasia ini ala-ala Baitul Daraja Hawaiya yang menyatukan jiwa-jiwa yang menggunakan basikal sebagai radas untuk menjelajah. Lagi pula scene touring bike di Malaysia masih kecil. Masih dalam kategori pasaran niche. Alih-alih kau jumpa orang yang sama. Moga usaha wujudnya ruang ini; ada ganjaran dilorongkan dalam buku kanan pelopor Pedalasia, Che Wan. Pada mulanya kami hanya berborak kosong perihal route dan basikal. Kemudian Tikus memaklumkan idea mereka mau ke Port Dickson. Peluang datang sekali je bro!

2. Kebetulan dalam minggu yang sama Rafi pulang ke Malaysia. Tidak ada angin, tidak ada ribut. Tahu-tahu sudah terpacak depan rumah ajak open table di Seri Kelantan bersama seorang lagi rakan siar kami, Ana. Terus aku beritahu idea Sepang - PD ini. Matematik manusia - kongsi/bahagi; menjadi sedikit, hilang rasa, jadi biasa. Matematik Tuhan - kongsi/bahagi; kau akan nikmati kepuasan berjuta-juta lemon! Rafi setuju mau ikut serta. Cun! Ohya, Rafi merupakan tuan sebenar kepada Abu. Transaksi jual beli yang aku gunakan untuk memiliki Abu adalah effort, trust and love. Gitu!

3. Baiklah. Aku dan Rafi datang awal semalaman di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA. Oleh kerana kawasan masjid tidak berkunci, kami bermalam di ruang legar sebelum bertukar tempat ke wakaf kerana diserang nyamuk. Tidak dinafikan berkudis kaki sedap duk garu. Pejam mata pun main-main. Masalahnya, Rafi boleh je bedal tidur padahal dia ada minor OCD. Aku yang semberono ini pula tak tenang. Mungkin darah aku manis. Mungkin.

4. Ikut perancangan, di jam 10.30pagi geng Tikus dan Farid akan mulakan kayuhan dari rumah nenek Epi dan tunggu kami di round the board menuju ke Sepang. Cuma ada hal kecil berlaku kepada tayar Abu sehingga memerlukan Tikus dan Farid datang ke masjid bawa pam. Hal kecil. Semua okey. Settle satu. Yang kedua, cuba kau teka apa yang berlaku seterusnya apabila kami telah bergabung menjadi satu kumpulan besar? 9 orang kesemuanya.

Teruskan jalan? Tak.

Selfie? Tak juga.

Group photo? Naaa.

Kami lepak makan nasi lemak warna hijau tajaan Rafi.

Aku pun terkejut juga bila Rafi beritahu dia bawa bekal nasi lemak untuk 5 orang. Apa power sangat ni kak? Padahal masa itu, sesampai sahaja kami di tempat mereka berkumpul; masing-masing sudah get ready pegang basikal hendak mulakan kayuhan. Terbantut. Parking basikal tepi, buka bekal, balun. Lepas makan, kemas, gerak dalam jam 11.00pagi.

5. Masjid Sultan Abdul Samad KLIA - Litar F1
Ini route pertama untuk aku dan Abu ride secara berkumpulan. Masih belum dapat rentak. Rafi sendiri pun sudah lama tidak berbasikal. Jadi di permulaan ini, kami saling bantu-membantu untuk memahami basikal sendiri. Kata omputeh, never try never know. Kena ada dalam situasi baru dapat faham dengan lebih jelas. Nah! Ada satu simpang di litar F1 Sepang yang aku dan Rafi terlepas masuk kemudian kami berpatah balik mengejar geng Tikus. Waktu menunggu kami inilah Maya Karan (basikal Tikus) jatuh calar. Terguris. Dalam sedih-sedih beliau, aku suruh dia tulis 'PD' ditempat yang tercalar sebagai tanda peringatan. Haha!

Selepas silap jalan gini, aku baru nampak dengan jelas konsep leader dan sweeper dalam konteks berbasikal. Cuma kami beginner, pasang tayar pun termenung sejam (aku seorang je sebenarnya), jadi tidak bersistem sangat; faham-faham sendiri. Kalau laju, kau kayuhlah ke depan. Kalau penat ke belakang sikit. Kedua-duanya masih dalam jarak yang sedang-sedang sahaja. Cuma selalunya yang di depan adalah Epi. Farid jadi sweeper. Ngam! Great team!

6. Litar F1 - Bustop Taman Desa Indah

7. Bustop Taman Desa Indah - Tanah Merah
Sekarang musim panas berdentum-dentum menjadikan kayuhan di tengahari sedikit lemau dan memenatkan. Lagi-lagi semasa memanjat Bukit Pelanduk, kumpulan kami terpecah menjadi dua. Ada yang kekejangan otot, ada yang performance basikalnya tidak memuaskan. Aku berada dalam kumpulan depan bersama Epi, Hiro dan Rafi yang sampai awal di Tanah Merah. Oleh kerana sudah tengahari, sementaran menunggu yang lain Epi ajak makan tengahari terus. Gerai makan di persimpangan Tanah Merah. Must try food, doh! Sedap dan banyak! Lagi satu kumpulan bersama Tikus dan Farid. Bagus depa berdua ni.

Lama juga menunggu di sini. Dua meja tu penuh dengan gelas. Gila! Mungkin bagi orang yang sudah biasa aktiviti outdoor benda ini normal. Untuk yang cheapskate, jarang minum di kedai seperti aku (melainkan kopi hipster haha!) - ini luar biasa wei. Hari berganjak ke waktu Dhuzur, Farid dan yang lain masih gigih mengayuh. Betul-betul menguji orang Si Pelanduk ini.

8. Tanah Merah - Pasar, Portdickson.
Lewat jam 3.00 kami kembali membentuk kumpulan besar 9 orang. Oleh kerana hari sudah memetang, kami bersepakat untuk pecahkan kumpulan ini menjadi dua; satu kumpulan akan shoot terus ke Blue Lagoon dan set up tempat. Satu lagi kumpulan akan bersama-sama yang baru tiba dari Bukit Pelanduk. Kondisi Abu dalam keadaan baik dan aku cukup rehat; jadi aku pilih untuk bergerak dengan kumpulan depan bersama Epi, Hiro dan Rafi. Ride mengejar matahari terbenam yo!

Telah dijangka hujan akan mengunjungi bumi di sebelah petang. Setelah saling mempercayai antara satu sama lain bahwa ride dalam hujan tidak menjadi suatu masalah, kayuhan diteruskan dengan membelok ke kanan kawasan Pekan Lukut, rupanya kami hanya melintasi kawasan hujan. Beberapa kilometer selepas Pekan Lukut, cuaca kembali panas memekak lit-lit bak hang!

Perjalanan menuju ke pasar boleh dikatakan smooth and steady. Sebenarnya waktu ini kami masih berkira-kira sama ada mahu terus ke Blue Lagoon atau singgah di Pekan Port Dickson untuk mencari makanan. Concern kami adalah mengejar matahari agar dapat menggunakan sumber cahayanya untuk dirikan khemah. Kata Hiro, tapak perkhemahan itu akan tutup jam 7.00 malam. Sekarang jam 6.00 petang. Baki dalam belas-belas kilo lagi. Kami mengejar masa sebetulnya. Setelah ditimbal-balik, masing-masing bersetuju untuk singgah pasar malam. Lagipun waktu ini Farid dan yang lain baru sampai di Pekan Lukut.

9. Pasar, Portdickson - Blue Lagoon
Ride seorang dengan ride berkumpulan sangat-sangat berbeza. Selalu apabila langit mulai berdikit-dikit menukar jingga, mood aku akan automatik down. Mungkin salah satu sebab adalah aku perlu cari tempat berteduh. Cari tempat berteduh bukan mudah untuk seorang cheapskate yang pengecut. Haha! Lagi satu, kalau ride seorang; kau banyak bercakap dengan diri sendiri. Misalnya,

"Kau okey?"
"Sikit lagi,"
"Da nak sampai da,"

Ride berkumpulan, orang yang akan cakapkan untuk kau. Kind of motivation wei! Tidak sempat nak mengeluh penat. Mungkin betul orang kata single is unhealthy. Eh! Kalau ikutkan, aku sudah berhenti kat pantai depan pasar tadi. Apa masalah korang sampai nak pergi pantai jauh-jauh! Masa lagi 15 minit mau sampai ke titik 7. Dalam kepala aku satu je, macam mana yang kat belakang nak redah jalan ini di waktu malam? Baikkan aku? Fikir orang belakang. Ehemm.

10. Blue Lagooonnnn!
Kami sampai jam 7.15 malam. Magrib. Dapat tengok matahari kejap je. Perasaannya, duh! Bercampur baur. Tak sempat duduk ambil nafas, sisa baki cahaya matahari itu kami gunakan untuk set up khemah. Aku agak kagum dengan kebolehan Epi. Teliti dan penyabar orangnya. Sepanjang set up itu dia yang banyak berfikir bermula daripada khemah, flysheet, unggun api, makanan. Semua dalam kepala dia. Semasa aku cari kayu untuk unggun api, muncul dak Tikus, Farid dan Rashid yang tengah tercari-cari tapak perkhemahan. Lewat sejam daripada kami. Maksudnya jarak kami tidak terlalu jauh. Sedang-sedang sahaja. Tinggal dua orang lagi di belakang, Mok dan Naim.

11. Kata Tikus, malam ini akan dilunaskan dengan persembahan kebudayaan sambil-sambil bakar otak-otak dan sate ikan yang kami beli di pasar petang tadi. Alih-alih Farid pasang kotak kuning dia. Keluar trek lagu Barasuara. Kemudian masing-masing pun menghilang. Tak boleh blah betul. Ohya. Kalau malam semalam, aku yang struggle berperang dengan nyamuk - malam ini Tikus dan Farid pula duk tepuk-menepuk marah nyamuk. Sorry bro tak boleh tolong. Khemah aku memang aku jaga dari awal tutup rapi jangan kasi masuk. Fuh! Nyenyak tidur sey!

12. Keesokan harinya, angin kuat mengejutkan kami bangun dari tidur. Pada hari ini, aku dan Rafi akan mengayuh menuju ke Melaka. Manakala Tikus dan yang lain akan kembali ke Sepang. Dalam angin kuat, cuaca masih baik. Sempat juga kami merasa roti sardin Tikus dan air teh (tak pasti siapa buat). Pada awalnya memang aku dan Rafi nak gerak dah. Tetapi bila melihat Tikus dan yang lain turun ke laut, kami kasi mereka masa lagi sebelum lakukan upacara ucap selamat jalan. Selesai naik darat, tolong mereka kemas-kemas apa yang patut. Kami ambil group photo seperti yang kau nampak di atas. (Senyum).

13. Dalam lagu berjudul Wash It Away, Nahko Bear ulang perkataan 'We're part of something special' sebanyak 6 kali. Dalam 6 kali penekanan ini juga, Nahko Bear beritahu untuk 'Stay humble'. Aku bersandar kepada hakikat bahawa setiap daripada kita mempunyai keistimewaan tersendiri. Tikus, Farid, Epi, Hiro, Rafi, Mok, Naim, Rashid waima sesiapa sekalipun telah termaktub keistimewaannya. Kata kunci untuk menyatukan semua keistimewaan ini adalah memerlukan penganutnya merendah diri. Stay humble.

Terima kasih, semua.

20170320

Bab Terakhir - Mari kita selesaikan!

Bab terakhir; Terima kasih kerana sudi baca tulisan aku, moga ada kebaikan yang kalian terima daripada pembacaan ini. Kata orang, belajar dari kesalahan sendiri, sehingga kesalahan itu memiliki nilai. Belajar dari kesalahan orang lain, sehingga kau tak perlu melakukan banyak kesalahan. Jangan ulang kesilapan aku, okey? Senyum.

Salah seorang partner-in-crime yang hadiahkan aku jilbab semasa belajar di Matrikulasi sehingga aku memakainya seperti yang kau nampak hari ini, Nabilah.

1. Jam 7.30 pagi dan aku sudah bersiap-siap untuk meninggalkan Pekan Beruas, pekan yang menyimpan 1001 orang berhati mulia. Dalam aku berkemas-kemas tadi, rupanya tuan pemilik kedai telah sampai untuk mulakan rutin perniagaan. Kami berborak sedikit mengenai jalan yang bakal aku lalui. Pertemuan ini dilangsaikan dengan bertukar-ucapan selamat jalan. Terima kasih Mak Ana; moga rahmat Tuhan mendakap keluarga kalian dengan erat!

2. Oleh kerana apa yang dirancang tidak menjadi (plan lari), aku hidupkan harapan-harapan baru. Potongan kertas nama-nama pekan yang bakal aku lalui pada hari ini diselitkan di beg hadapan. Route ini terhasil dengan bantuan Rabiatul & Afie. Kami berbincang melalui DM instagram. Aku terharu sebab depa willingly DM aku dan membantu. Malah aku yang dimarah bila diam terlalu lama. Duh! Terima kasih, kawan! Kata Rabi; once friend, forever friend. Runtun hati perempuan aku woi!

3. Beruas-Pulau Pinang (147km). Aku beritahu Rabi, aku plan shoot ke Nibong Tebal sahaja kerana agak keterlaluan untuk terus ke Pulau Pinang. Mulut aku cakap begini, atas kertas dan dalam kepala route lengkap menuju ke Pulau Pinang. Hati? Hati aku gementar, bercampur baur. Perjalanan Beruas ke Terong - gila babi sunyi sepi hoi! Lebih creepy daripada Gelung Pepuyu! Jalan yang lebih kecil. Kiri kanan pokok hutan yang tinggi dan banyak kali bertembung dengan anjing liar!

4. Beruas-Terong-Changkat Jering tiada masalah. Dalam seram-seram itu sempat jugak singgah warung (di tengah-tengah hutan yang aku tak pasti kampung apa) makan roti canai telur. Waktu ini aku mula rasa something tak kena dengan Abu. Iyalah, sudah masuk hari ke-3 kami bersama, panas bersama, hujan bersama, berborak bersama, kena kejar anjing pun bersama. Bila ada tak kena tu terasa betul!

5. Keadaan menjadi semakin kacau apabila sampai di Simpang, Perak. Singgah di kedai motor untuk pam tayar belakang. Bila aku pam, air mulai keluar dari gegelung rim. Duh! Jangan cakap tuib pecah! Aku kool teruskan kayuh. Masuk sahaja Pekan Simpang yang tak sampai beberapa kayuhan - bunyi letupan kuat. Ah! Apalagi bunyi itu kalau bukan datang dari Abu. Abu tenat.

6. "Kan dah beritahu tiub belakang tu guna tiub basikal Mai yang lama,". Mujur aku selit not 50 dalam buku. Salah aku juga sebab tak peka. Ntah apalah aku fikir masa Pedal tu cakap dengan aku. Pedal tu boleh tahan. Lagi-lagi masa dia acuh api untuk hidupkan pangkal rokok. Berkerut-kerut muka. Fuh! Ngam. Cuma sepanjang proses tukar tuib Abu, aku curse dia. Haha! Kejap je la tapi. Lepas dia terangkan aku mengaku salah aku. Ohya Pedal juga salah seorang yang monitar perjalanan aku. Terima kasih Abang Pedal.

7. Selesai kena ketuk 50, kayuhan diteruskan masuk ke Taiping. Aku pun tak pasti kenapa masuk Taiping. Kalau ikutkan route, dari Simpang akan menuju ke Matang. Mungkin kepala aku masih angut-angut nampak Taiping. Jadi aku lunaskan dengan bergambar di depan signboard Taiping supaya tak meleleh air liur ngidam nak masuk Taiping. Taiping ini tempat Fahmi, lelaki yang tolong aku di Gelung Pepuyu.

8. Taiping-Kemunting-Bagai Serai-Nibong Tebal pun tiada sebarang masalah. Kereta sudah banyak. Kiri kanan adalah rumah, kilang, kedai. Cuma panas lit-lit bak hang! Aku yang sememangnya hitam dah malas nak fikir fasal muka. Pakai sun protection sahaja. Cukup. Pesanan untuk semua: sun protection penting! Fucked up macam mana sekalipun kau terhadap make up; pakai sun proctection. Elak kanser.

9. Nibong Tebal, jam 3.00 petang, baki 30km++ menuju Butterworth. Langit dari arah kanan mulai menghitam. Aku telah jangka hal ini dari awal. Akan hujan. Jadi sambil mengayuh, aku ketuk pintu hati beri salam, "Assalammualaikum Mai, kau macam mana? Okey? Nak teruskan ke nak berhenti?," Mai diam.

10. Tup tup aku dah berada di Simpang Ampat dalam keadaan basah lencun. Nekad. 30km sahaja lagi! Sama jauhnya macam aku keluar petang dari rumah (Meru) ke Kampung Budiman. 30km! Tak jauh, Mai! Sikit sahaja lagi! Sumpah masa ini tulang belakang aku macam kena sepak sakitnya. Berdenyut-denyut. Cuma keterujaan mendahului rasa sakit. Kayuh menuju ke Butterworth!!!! Jyeahhhh!!!

11. Tak. Aku tipu. Sebenarnya keterujaan itu jatuh nombor dua. Nombor satu, ada sebuah basikal memotong aku dari arah belakang.

12. Macam ini ceritanya, masa aku sedang bermusyawarah dengan diri sendiri (sama ada mau teruskan atau berhenti); ada satu basikal Shimono memotong aku. Berdesup bapak laju nak mati kayuh tinggalkan aku. Semasa hujan melebat, dia berhenti di stesen minyak. Aku je bial pergi redah hujan. Bila hujan reda, dari cermin sisi, aku nampak dia. Kami pun mengayuh menuju ke Butterworth. 15km menuju ke Butterworth, dia memperkenalkan diri sebagai Dat daripada Taiwan.

13. Ah aku cakap kau, Pulau Pinang memang tersemat dalam sanubari aku sejak aku di matrikulasi lagi (Aku pilih matrikulasi kerana negeri-nya & Pasar Chowrasta). Negeri ini memang betul-betul berjaya mengambil hati aku. Rakyatnya sudah lali dengan penunggang basikal, jadi rasa takut kepada trafik sesak terus lenyap. Sampai di persimpangan Butterworth dan Bukit Mertajam - Dat dan aku berpecah. Kami selfie dan bertukar email.

14. Hari terlalu petang dan malam mulai menunjukkan belang; sangkut di Subway, Butterworth. Lost lagi. Mata aku berpinar. Aku cuba-cuba juga kayuh mau menuju ke terminal feri (waktu ini jam 8.30 malam). Dapat sekerat jalan sahaja, batalkan niat. Cari tempat berteduh daripada gelap malam. "You did a great job, Mai. Kita sambung esok ya," Kata aku sambil menepuk bahu sendiri. Peluh mata pun turun. Melaju.

15. Keesokan harinya, aku berjaya masuk ke Pulau. Pulau masih seperti pulau yang aku mula-mula masuk pada 5 tahun nan lepas. Sesak. Bezanya bangunan Pasar Chawrasta telah berubah baru. Sambil menunggu kedatangan kawan-kawan matrik, aku habiskan dengan berborak dengan pakcik kedai buku. Pakcik ni masih ingat aku boh! Aku ada menulis perihal Pakcik ini di blog aku lagi satu, Metakri.

16. Selesai borak-borak. Petang jam 6.00 aku beransur keluar dari Pulau. Ya sekejap sahaja. Kalau ikutkan semua pelusuk pulau telah aku selusur bersama Fatimah pada dua tahun lepas. Lagipun niat utama adalah menziarah Mak Ima di Penaga. 5 tahun kami sudah tidak berjumpa. 5 tahun ini sikit pun aku tidak pernah lupa akan kebaikan mereka. Host aku malam ini Yah. Yah dan aku dari frekuensi yang sama, dapatlah sembang-sembang masa depan. Yah volunteer nak teman aku jumpa Mak Ima. Terima kasih, Yah. Settle dua hari aku di Pulau Pinang, aku kembali bersama Abu ke tempat dimana aku bermula.

Selesai.

***
Coming up story,
Terengganu - Camping guerrilla, camping secara membabi-buta 
Negeri Sembilan - Ada apa dengan Radpacker?
Melaka - Beng Nadu Yennada

20170313

Bagaimana diakhirnya saya sedar: Teluk Intan - Taiping jauh!


1. Langit di Bota Kiri masih panas menyengat. Masih sakit menggigit kulit. Sedang langit dari arah Jalan Gelung Pepuyu sudah mulai menghitam. Dan aku telah nekad pada keputusan pertama. Jadi niat diteruskan dengan mengayuh Abu belok ke kanan masuk ke Jalan Gelung Pepuyu untuk lekas-lekas sampai ke Taiping. Walhal memang tak logik dah masa itu untuk sampai ke Taiping. (Baki 80km ++ di jam 2.00 petang). Dan dan kehadiran aku disambut dengan deretan lori hantu membawa muatan berat keluar. Jaga-jaga!

2. Tidak lama kemudian, sekumpulan anak muda yang menunggang motor dari arah bertentangan berteriak memberi amaran hujan lebat di hadapan. Ya! Ia betul-betul datang! Seperti jentera mau perang! Aku boleh lihat dengan jelas, terang lagi bersuluh. Cepat-cepat aku turun basikal. Masukkan semua barang yang penting dalam beg waterproof. Beria-ria sungguh buat persediaan hadapi hari hujan. Boleh jadi aku rasa teruja. Kemudian langit berdikit-dikit menjadi gelap sehingga hujan pun turun menyambut kedatangan orang gila.

3. Aku akui jalan ini sunyi. Kiri kanan adalah bentangan ladang kelapa sawit. Berbukit-bukit. Dengan bilangan lori dan kereta yang sedikit dan melaju, aku gigih mengayuh dalam hujan. Baju sudah lencun. Untuk lima bukit yang pertama aku masih gagah mengayuh. Masih kool. Masih ada nafas. Sampai satu tahap aku mulai merasakan muatan yang dibawa berat gila babi. Dengan keadaan jalan yang tak habis-habis mencanak naik bukit, bila nak turun hoi?! Terlalu berat, biar aku sahaja mengalah - turun dan sesi tolak-menolak Abu untuk memanjat bukit pun terjadi.

4. Untuk seketika aku layan je perasaan turun naik bukit dengan air hujan yang biadap meludah. Sesekali kereta lalu dan aku mula pasang harapan ada yang berhenti hulurkan bantuan. Tetapi siapa sahajalah yang berani dalam keadaan epik begini untuk bantu orang gila yang sengaja menggilakan diri. Jadi aku matikan sahaja niat itu sehingga sebuah motor berpatah-balik ke arah aku, lalu memperkenalkan dirinya sebagai Fahmi. Goal!

5. "Saya sarankan Akak bermalam di Beruas. Taiping masih jauh," Nasihat Fahmi kepada aku apabila kami berborak tentang arah tujuan sambil beriring masuk menuju ke satu jalan kecil. Kata Fahmi, ini jalan short-cut ke Beruas. Sebenarnya, aku baru sahaja meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Fahmi dengan membenarkan dia bawa beg waterproof yang berisi ke semua barang berharga. Kadang-kadang boleh tahan senteng juga aku ini. Cuma dalam keadaan ini (penat dan ada yang membantu), tenaga positif aku berlaga-laga. Inilah kot petua untuk walk into the wild; positive. Bila diingat-ingat semula, ia berbahaya.

6. Aku fikir ada baiknya buat kali ini makan nasihat Fahmi. Berhenti jadi degil kerana hari sudah petang. Aku takut kepada gelap dan ruang. Gelap dan ruang adalah kombinasi paling teruk! Aku rasa lebih selamat duduk dalam kotak yang kecil ruangnya, daripada menjajau seorang diri di ruang yang luas (Harap akan ada orang faham akan kekelingan aku ini). Jadi sampai sahaja di pekan Beruas setelah bertukar-tukar ucapan selamat, terus Fahmi ambil jalan ke kiri. Aku membelok ke kanan; menuju masjid Beruas.

7. Kayuhan diteruskan mengejar suara azan asar berkumandang. Auranya berdesupp-zupp masuk terus ke hati. Menegakkan bulu roma. Sumpah! Lain macam betul pekan ini! Gementar sebetulnya. Apa lagi kali ini nak jadi? Belajar dari kesilapan lepas, sampai sahaja di Masjid Beruas dalam keadaan basah kuyup aku perlu mencari Tok Siah. Penting! Untuk menjamin keselasaan tidur dan tidak mahu kecewa lagi. Dalam masa yang sama, masih simpan malu-malu kucing kepada pakcik-pakcik jemaah tabligh. "Assalammualaikum Tuan, Saya Mai." - Mood bermanis mulut turn on!

8. Selesai nyatakan hajat dan berikan maklumat (Untuk dapatkan izin tidur di masjid, cari Tok Siah; berikan salinan IC & tinggalkan nombor telefon), aku berborak-borak dengan pakcik-pakcik jemaah tabligh. Borak-borak ringan. Yakinkan mereka perihal tujuan aku. Mereka nampaknya mudah dibawa ke medan berborak. Aku yang pada mulanya kekok pun jadi riang bercerita. Tabligh boh! Orang-orang kanan Tuhan. Duh!

9. Iqomah pun berlagu, pakcik-pakcik tadi meminta diri mau sahut panggilan Tuhan. Aku teruskan berehat di kerusi batu sambil menghirup bubur nasi yang dibeli di perkarangan masjid. Tenaga positif aku masih lagi berdentam-dentum. Sama lain macamnya masa aku mula-mula masuk ke pekan ini. Selalunya kalau perasaan begini datang, aku akan overcome dengan mengurung diri. Cooling down. Over-confident adalah tabiat yang tidak sihat. Malangnya, aku tak jumpa ruang untuk mandiri. Pakcik dari warung yang terletak di sebelah masjid pula menegurku.

10. Rupanya ada buah rezeki yang dibawa dari pertemuan aku dengan Pakcik ini. Bermula dari Pak Haji Yusuf, seorang kariah masjid, yang senang hati menawarkan diri untuk bayar makanan malam aku. Termasuk ke isterinya sendiri, Mak Ana, menawarkan ruang rehat di belakang warungnya untuk jadikan ruang tempat aku bermalam. Tanpa berfikir panjang, aku setuju. Ruang yang tiptop! Siap ada katil, bantal dan kipas.

11. Sebelum masuk tidur, aku ada borak-borak kecil dengan Mak Ana. Aku kalau dengan perempuan; lebih-lebih lagi umur macam Mak Ana - skill tackle agak power! Aku selalu cakap benda ni kat mereka (perempuan), "Open your heart for ten seconds. Let me sink into you," dan hari seterusnya kami akan menjadi kawan baik. Dengan sisa tenaga positif yang suam, satu per satu Mak Ana tenang bercerita. Moga Tuhan merahmati perniagaan dan memberikan kesihatan yang baik kepada mereka.

Aku terhutang budi.

12. Subuh datang; aku selesaikan dengan berjemaah di masjid (warung dan masjid hanya beberapa langkah). Selesai semua aku melangkah ke ruang kasut, sekali lagi disapa oleh seorang jemaah perempuan, Mak Saaya namanya. Mak Saaya mengajak aku menyinggah ke rumahnya untuk minum pagi. Aku bersetuju - kami berjalan menuju ke rumahnya. Belakang masjid. Mak Saaya hidangkan milo panas dan kuih. Kami berbual seperti sudah lama kenal. Kawan aku pernah kata, kalau aku jadi menantu - aku adalah menantu paling disayangi. Okey. Over-confident tak baik untuk kesihatan. (Tapi ni kawan aku yang cakap. Haha! Tak nak kalah.)
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan, kalau mereka mengetahui.” Al Ankabuut (64)
***

Bersambung...

Akan datang - Bab Terakhir:

Setelah emosi aku terburai sepanjang jalan dari Teluk Intan-Beruas (78.8km), Tuhan ubat dengan kebaikan orang Beruas. "Pengharapan kepada manusia itu menyakitkan," Maklumku pada Yah di malam terakhir keberadaan aku di Pulau Pinang. Esok aku perlu pulang ke tempat di mana aku bermula. Selepas tiga hari berbasikal dari Meru ke Pulau Pinang.

20170210

Dari Meru, Klang Dengan Cinta

Ada orang yang hobinya mengumpul kata-kata azimat. Baik dalam bentuk digital mahupun diikat dengan pena. Boleh jadi kata-kata azimat ini adalah radas meraka untuk berdamai dengan diri sendiri. Ia terjadi pada diri aku bila mana Christopher McCandless membakar duit sambil mencatat nota; money is illusion, ia benar-benar membuatkan jiwa aku tenang. Sehingga aku berpendapat jagat raya tidak nyata. Manusia hidup dalam ilusi. Ia bersifat persinggahan dan sementara. Wang, pangkat, kekayaan, wanita - semua ini ilusi. Ilusi ini boleh difahamkan melalui objek ilusi optik. Menipu penglihatan. Itu ilusi !

Christopher adalah simbol pemberontakkan yang berkiblatkan individualism. Kata Christopher, ramai sekali orang yang hidup dalam ketidak-puasan hati tetapi tidak mengambil apa-apa inisiatif untuk mengubah keadaan mereka. Hal ini terjadi akibat terbiasa dengan kehidupan yang selamat, patuh dan konservatif - yang membawa kepada ketenangan jiwa. Aku akuinya.

Andai kata Christopher menulis catatan ini di hadapan aku, aku akan mengajukan soalan: kalau kau sudah berada di tahap yang menenangkan jiwa, kenapa perlu susahkan hati masuk ke zon yang tidak tenang? (Atau aku patut tanya diri sendiri?). Lelaki yang menukar nama kepada Alexander Supertramp ini menyambung catatan tadi dengan mengatakan pada hakikatnya tiada apa yang lebih merosakkan semangat mengembara dalam diri seseorang melainkan masa hadapan yang terjamin. Aku yakin di titik inilah kami bertemu wehdatul qalbi. Inkuiri tentang makna hidup.

Sayang sekali, yang menjumpai catatan Christopher adalah aku; orang yang sedang melawan ketakutan. Kalau wang, pangkat, kekayaan, dan wanita tidak mampu membahagiakan; kau patut keluar dari lapangan ini! Seperti Christopher yang mencari kebenaran dan kebahagian dengan berjalan meredah masuk ke gurun liar, begitulah aku melawannya dengan mengayuh sebuah basikal merah; bernama Abu. Aku masih ingat riak muka seseorang yang bertanyakan kenapa basikal?
"Meletakkan pengharapan kepada manusia dengan pengharapan kepada Tuhan adalah dua hal yang berbeza" - CW
Abu menyerlahkan kemachoan-nya

6. Baiklah. Biar aku mengaku jujur, dua hari sebelum aku mulakan perjalanan berbasikal - ntah macam mana aku telah memindahkan keseluruh pengharapanku kepada manusia. Kami berjanji akan berjumpa di Teluk Intan. Mungkin ini yang dikatakan oleh Christopher, sense of security. Tanpa sebarang masalah, aku sampai di Teluk Intan (136km) dengan hati berbunga-bunga. Tersusun elok siap boleh tengok sunset di Sungai Perak lagi. Sebelum segala-galanya berubah kembali kepada plan asal - hanya aku dan Abu. Sahaja! Lebih mengharukan, aku telah membuat pembatalan untuk kesemua hotel yang telah ditempah.

7. Malam mendakap aku dengan satu rumusan, sebenarnya terdapat tiga hal yang berbeza. Selain wujud pengharapan kepada manusia dan Tuhan, yang ketiga adalah pengharapan terhadap diri sendiri. Pada mulanya Tok Siah masjid tidak izinkan tidur di kawasannya. Ia silap aku juga tidak minta kebenaran. Dalam keadaan sebak aku mohon untuk bermalam di kawasan kerusi batu. Semua okey sahaja, cuma nada suara Tok Siah ni macam nak makan lempang pun ada! Haha! Baru sahaja layan mimpi beralas kerusi batu, lagi sekali Tok Siah main sergah; suruh tidur dalam.

8. Jon Krakauer cuba memberitahu melalui bukunya bahawa tidak semua yang membahagiakan itu adalah bahagia. Prinsip asas ekonomi juga membuktikan setelah pengguna capai tahap utiliti satu, tahap kepuasan seterusnya akan menurun. Waktu ini Christopher mengeluarkan catatan - how important it is in life not necessarily to be strong, but to feel strong. Pagi datang dan kenangan pun perlahan-lahan mengekori aku dan Abu di sepanjang perjalanan menuju ke Beruas (88.3km). Ia suatu perasaan yang berbolak-balik. Tuhan melihat betapa rapuhnya aku sangat itu! Perasaan yang tidak berhenti-henti mengasak masuk. Mungkin kalau ini suatu pekerjaan, nama pekerjaan itu dipanggil muhasabah diri sepenuh masa!

9. Mencabar sebenarnya nak berlawan dengan orang yang jarang makan. Mau bertumbuk jugalah dengan diri sendiri tiap kali lalu kedai makan. Lagi-lagi aku ada masalah dengan ikan dan satu-satunya warung yang wujud di sepanjang jalan Kampung Lembor Kanan hanya sediakan lauk ikan. Itu tak apa lagi, aku masih boleh makan (ibarat kau tak suka orang itu, tapi kau masih berkawan dengan dia). Cuma kalau cawan air sirap penuh dengan semut berenang? Allah. Dua kali aku minta tukar, kali ke-3 masih sama. Minum pejam mata.

10. Hari sudah beranjak ke tengahari apabila aku masuk ke Kampung Bota. Untuk beberapa minit, aku lost. Totally lost. Campak basikal dan baring tepi jalan; tekup muka. Aku syak ini kesan buruk makan semut secara membabi-buta sehingga menyebabkan ketidak-keseimbangan emosi berlaku. Atau cuaca terlalu rajin bekerja membanting kepanasannya. "Ia bukan destinasi, ia sebuah perjalanan," kata seseorang yang baru aku kenal tak sampai seminggu.

11. "Jangan lalu Gelung Pepuyu, tempat tu sunyi."

12. Suatu perkara kau perlu tahu perihal Mai, dia degil. Tetapi aku bukan degil semberono! Idea aku antara 83km dan 102km (waktu ini aku masih plan shoot ke Taiping walaupun jam sudah pukul 2) - baik aku pilih 83! Logikkan?! Ya logik. Jadi aku pilih untuk membelakangkan kata-kata orang kampung yang aku temui di Masjid Bota dan sambung kayuh meredah masuk ke Jalan Gelung Pepuyu. No doubt, stubborn level 999.

13. "Now, I walk into the wild." Kata Alexander Supertramp sambil melangkah masuk ke Gurun Alaska.

14. Aku membelok ke kanan untuk ambil Jalan Titi Gantung, jalan menuju ke Gelung Pepuyu yang dikhabarkan oleh kebanyakkan penduduk Bota yang aku tegur, menyeramkan dan berbahaya. Tambahan lagi langit sudah menghitam dan hari semakin petang. Jadi sekarang giliran aku..
Now, I cycling into the wild.
(Bersambung.. Sebab entri panjang gila babi dan aku masih edit raw writing dalam buku yang sudah lunyai kejung kena hujan. Ikut pengalaman blog aku nan lepas, kalau post yang berlabel Tour Diaries ada perkataan bersambung - jangan percaya, aku menipu. Sampai ke sudah tidak disambung)

Walau apa pun, lucukan? Ketakutan boleh dilawan dengan hanya membaca sebuah buku.

*Senyum

Featured Post

Musim yang baik untuk kita mulakan masa depan

Ini real comeback atau permulaan bagi satu tahap yang baru? Seperti Manylisme, Metakri juga sudah tidak releven lagi untuk aku menulis cat...