20170324

Port Dickson - Kita adalah sebahagian daripada sesuatu yang istimewa

Dari kiri: Farid, Epi, Rafi, Hiro, Tikus, Naim, Mok, Rashid

1. Bermula daripada Tuhan Rabbul 'Alamin; pertemukan aku dengan Tikus dan Farid di Pedalasia. Boleh dikatakan Pedalasia ini ala-ala Baitul Daraja Hawaiya yang menyatukan jiwa-jiwa yang menggunakan basikal sebagai radas untuk menjelajah. Lagi pula scene touring bike di Malaysia masih kecil. Masih dalam kategori pasaran niche. Alih-alih kau jumpa orang yang sama. Moga usaha wujudnya ruang ini; ada ganjaran dilorongkan dalam buku kanan pelopor Pedalasia, Che Wan. Pada mulanya kami hanya berborak kosong perihal route dan basikal. Kemudian Tikus memaklumkan idea mereka mau ke Port Dickson. Peluang datang sekali je bro!

2. Kebetulan dalam minggu yang sama Rafi pulang ke Malaysia. Tidak ada angin, tidak ada ribut. Tahu-tahu sudah terpacak depan rumah ajak open table di Seri Kelantan bersama seorang lagi rakan siar kami, Ana. Terus aku beritahu idea Sepang - PD ini. Matematik manusia - kongsi/bahagi; menjadi sedikit, hilang rasa, jadi biasa. Matematik Tuhan - kongsi/bahagi; kau akan nikmati kepuasan berjuta-juta lemon! Rafi setuju mau ikut serta. Cun! Ohya, Rafi merupakan tuan sebenar kepada Abu. Transaksi jual beli yang aku gunakan untuk memiliki Abu adalah effort, trust and love. Gitu!

3. Baiklah. Aku dan Rafi datang awal semalaman di Masjid Sultan Abdul Samad KLIA. Oleh kerana kawasan masjid tidak berkunci, kami bermalam di ruang legar sebelum bertukar tempat ke wakaf kerana diserang nyamuk. Tidak dinafikan berkudis kaki sedap duk garu. Pejam mata pun main-main. Masalahnya, Rafi boleh je bedal tidur padahal dia ada minor OCD. Aku yang semberono ini pula tak tenang. Mungkin darah aku manis. Mungkin.

4. Ikut perancangan, di jam 10.30pagi geng Tikus dan Farid akan mulakan kayuhan dari rumah nenek Epi dan tunggu kami di round the board menuju ke Sepang. Cuma ada hal kecil berlaku kepada tayar Abu sehingga memerlukan Tikus dan Farid datang ke masjid bawa pam. Hal kecil. Semua okey. Settle satu. Yang kedua, cuba kau teka apa yang berlaku seterusnya apabila kami telah bergabung menjadi satu kumpulan besar? 9 orang kesemuanya.

Teruskan jalan? Tak.

Selfie? Tak juga.

Group photo? Naaa.

Kami lepak makan nasi lemak warna hijau tajaan Rafi.

Aku pun terkejut juga bila Rafi beritahu dia bawa bekal nasi lemak untuk 5 orang. Apa power sangat ni kak? Padahal masa itu, sesampai sahaja kami di tempat mereka berkumpul; masing-masing sudah get ready pegang basikal hendak mulakan kayuhan. Terbantut. Parking basikal tepi, buka bekal, balun. Lepas makan, kemas, gerak dalam jam 11.00pagi.

5. Masjid Sultan Abdul Samad KLIA - Litar F1
Ini route pertama untuk aku dan Abu ride secara berkumpulan. Masih belum dapat rentak. Rafi sendiri pun sudah lama tidak berbasikal. Jadi di permulaan ini, kami saling bantu-membantu untuk memahami basikal sendiri. Kata omputeh, never try never know. Kena ada dalam situasi baru dapat faham dengan lebih jelas. Nah! Ada satu simpang di litar F1 Sepang yang aku dan Rafi terlepas masuk kemudian kami berpatah balik mengejar geng Tikus. Waktu menunggu kami inilah Maya Karan (basikal Tikus) jatuh calar. Terguris. Dalam sedih-sedih beliau, aku suruh dia tulis 'PD' ditempat yang tercalar sebagai tanda peringatan. Haha!

Selepas silap jalan gini, aku baru nampak dengan jelas konsep leader dan sweeper dalam konteks berbasikal. Cuma kami beginner, pasang tayar pun termenung sejam (aku seorang je sebenarnya), jadi tidak bersistem sangat; faham-faham sendiri. Kalau laju, kau kayuhlah ke depan. Kalau penat ke belakang sikit. Kedua-duanya masih dalam jarak yang sedang-sedang sahaja. Cuma selalunya yang di depan adalah Epi. Farid jadi sweeper. Ngam! Great team!

6. Litar F1 - Bustop Taman Desa Indah

7. Bustop Taman Desa Indah - Tanah Merah
Sekarang musim panas berdentum-dentum menjadikan kayuhan di tengahari sedikit lemau dan memenatkan. Lagi-lagi semasa memanjat Bukit Pelanduk, kumpulan kami terpecah menjadi dua. Ada yang kekejangan otot, ada yang performance basikalnya tidak memuaskan. Aku berada dalam kumpulan depan bersama Epi, Hiro dan Rafi yang sampai awal di Tanah Merah. Oleh kerana sudah tengahari, sementaran menunggu yang lain Epi ajak makan tengahari terus. Gerai makan di persimpangan Tanah Merah. Must try food, doh! Sedap dan banyak! Lagi satu kumpulan bersama Tikus dan Farid. Bagus depa berdua ni.

Lama juga menunggu di sini. Dua meja tu penuh dengan gelas. Gila! Mungkin bagi orang yang sudah biasa aktiviti outdoor benda ini normal. Untuk yang cheapskate, jarang minum di kedai seperti aku (melainkan kopi hipster haha!) - ini luar biasa wei. Hari berganjak ke waktu Dhuzur, Farid dan yang lain masih gigih mengayuh. Betul-betul menguji orang Si Pelanduk ini.

8. Tanah Merah - Pasar, Portdickson.
Lewat jam 3.00 kami kembali membentuk kumpulan besar 9 orang. Oleh kerana hari sudah memetang, kami bersepakat untuk pecahkan kumpulan ini menjadi dua; satu kumpulan akan shoot terus ke Blue Lagoon dan set up tempat. Satu lagi kumpulan akan bersama-sama yang baru tiba dari Bukit Pelanduk. Kondisi Abu dalam keadaan baik dan aku cukup rehat; jadi aku pilih untuk bergerak dengan kumpulan depan bersama Epi, Hiro dan Rafi. Ride mengejar matahari terbenam yo!

Telah dijangka hujan akan mengunjungi bumi di sebelah petang. Setelah saling mempercayai antara satu sama lain bahwa ride dalam hujan tidak menjadi suatu masalah, kayuhan diteruskan dengan membelok ke kanan kawasan Pekan Lukut, rupanya kami hanya melintasi kawasan hujan. Beberapa kilometer selepas Pekan Lukut, cuaca kembali panas memekak lit-lit bak hang!

Perjalanan menuju ke pasar boleh dikatakan smooth and steady. Sebenarnya waktu ini kami masih berkira-kira sama ada mahu terus ke Blue Lagoon atau singgah di Pekan Port Dickson untuk mencari makanan. Concern kami adalah mengejar matahari agar dapat menggunakan sumber cahayanya untuk dirikan khemah. Kata Hiro, tapak perkhemahan itu akan tutup jam 7.00 malam. Sekarang jam 6.00 petang. Baki dalam belas-belas kilo lagi. Kami mengejar masa sebetulnya. Setelah ditimbal-balik, masing-masing bersetuju untuk singgah pasar malam. Lagipun waktu ini Farid dan yang lain baru sampai di Pekan Lukut.

9. Pasar, Portdickson - Blue Lagoon
Ride seorang dengan ride berkumpulan sangat-sangat berbeza. Selalu apabila langit mulai berdikit-dikit menukar jingga, mood aku akan automatik down. Mungkin salah satu sebab adalah aku perlu cari tempat berteduh. Cari tempat berteduh bukan mudah untuk seorang cheapskate yang pengecut. Haha! Lagi satu, kalau ride seorang; kau banyak bercakap dengan diri sendiri. Misalnya,

"Kau okey?"
"Sikit lagi,"
"Da nak sampai da,"

Ride berkumpulan, orang yang akan cakapkan untuk kau. Kind of motivation wei! Tidak sempat nak mengeluh penat. Mungkin betul orang kata single is unhealthy. Eh! Kalau ikutkan, aku sudah berhenti kat pantai depan pasar tadi. Apa masalah korang sampai nak pergi pantai jauh-jauh! Masa lagi 15 minit mau sampai ke titik 7. Dalam kepala aku satu je, macam mana yang kat belakang nak redah jalan ini di waktu malam? Baikkan aku? Fikir orang belakang. Ehemm.

10. Blue Lagooonnnn!
Kami sampai jam 7.15 malam. Magrib. Dapat tengok matahari kejap je. Perasaannya, duh! Bercampur baur. Tak sempat duduk ambil nafas, sisa baki cahaya matahari itu kami gunakan untuk set up khemah. Aku agak kagum dengan kebolehan Epi. Teliti dan penyabar orangnya. Sepanjang set up itu dia yang banyak berfikir bermula daripada khemah, flysheet, unggun api, makanan. Semua dalam kepala dia. Semasa aku cari kayu untuk unggun api, muncul dak Tikus, Farid dan Rashid yang tengah tercari-cari tapak perkhemahan. Lewat sejam daripada kami. Maksudnya jarak kami tidak terlalu jauh. Sedang-sedang sahaja. Tinggal dua orang lagi di belakang, Mok dan Naim.

11. Kata Tikus, malam ini akan dilunaskan dengan persembahan kebudayaan sambil-sambil bakar otak-otak dan sate ikan yang kami beli di pasar petang tadi. Alih-alih Farid pasang kotak kuning dia. Keluar trek lagu Barasuara. Kemudian masing-masing pun menghilang. Tak boleh blah betul. Ohya. Kalau malam semalam, aku yang struggle berperang dengan nyamuk - malam ini Tikus dan Farid pula duk tepuk-menepuk marah nyamuk. Sorry bro tak boleh tolong. Khemah aku memang aku jaga dari awal tutup rapi jangan kasi masuk. Fuh! Nyenyak tidur sey!

12. Keesokan harinya, angin kuat mengejutkan kami bangun dari tidur. Pada hari ini, aku dan Rafi akan mengayuh menuju ke Melaka. Manakala Tikus dan yang lain akan kembali ke Sepang. Dalam angin kuat, cuaca masih baik. Sempat juga kami merasa roti sardin Tikus dan air teh (tak pasti siapa buat). Pada awalnya memang aku dan Rafi nak gerak dah. Tetapi bila melihat Tikus dan yang lain turun ke laut, kami kasi mereka masa lagi sebelum lakukan upacara ucap selamat jalan. Selesai naik darat, tolong mereka kemas-kemas apa yang patut. Kami ambil group photo seperti yang kau nampak di atas. (Senyum).

13. Dalam lagu berjudul Wash It Away, Nahko Bear ulang perkataan 'We're part of something special' sebanyak 6 kali. Dalam 6 kali penekanan ini juga, Nahko Bear beritahu untuk 'Stay humble'. Aku bersandar kepada hakikat bahawa setiap daripada kita mempunyai keistimewaan tersendiri. Tikus, Farid, Epi, Hiro, Rafi, Mok, Naim, Rashid waima sesiapa sekalipun telah termaktub keistimewaannya. Kata kunci untuk menyatukan semua keistimewaan ini adalah memerlukan penganutnya merendah diri. Stay humble.

Terima kasih, semua.

Featured Post

Musim yang baik untuk kita mulakan masa depan

Ini real comeback atau permulaan bagi satu tahap yang baru? Seperti Manylisme, Metakri juga sudah tidak releven lagi untuk aku menulis cat...